[x]

Hajat Terakhir Fatin Tertunai Jua

Seorang ibu tidak menyangka hasrat anak sulungnya untuk bertemu bapa tersayang selepas dua tahun berpisah, rupanya menjadi permintaan terakhir sebelum si anak menemui ajal dalam satu kemalangan di kampus pengajiannya, Shah Alam, petang kelmarin.

Ibu mangsa, Nortipah Khalid, 42, berkata, arwah anaknya, Fatin Farah Faradia Yusuf, 20, yang pulang bercuti sempena Aidilfitri baru-baru ini beria-ia mahu bertemu bapanya, Yusuf Yunus, 41, yang berpisah dengan ibunya sejak dua tahun lalu.

Nortipah berkata, untuk tidak menghampakan permintaan anaknya itu, dia membawa arwah bertemu bekas suaminya itu di Sri Bandi Kemaman dan mereka sempat bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Menurut Nortipah, walaupun mereka tinggal berjauhan, namun arwah yang juga anak sulung daripada tiga beradik sentiasa menghubunginya, terutama jika anaknya itu ingin menduduki peperiksaan.

Kata Nortipah, dia masih terkejut dengan berita kematian anak perempuannya itu kerana arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, apatah lagi dia baharu bercakap dengan arwah melalui telefon seminggu lalu.

Menurut Nortipah, dia menerima berita mengejutkan itu kira-kira jam 5.30 petang kelmarin ketika dia berada di Felda Jerangau, menguruskan perniagaan pasar malamnya, dekat situ.

“Dia baru menghubungi makcik minggu lalu memberitahu dia agak sibuk kerana sedang membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan.

“Tiba-tiba petang semalam mak cik terima panggilan telefon memaklumkan dia terlibat dalam kemalangan, susah nak percaya,” kata Nortipah.

Menurut Nortipah, ketika arwah menghubunginya minggu lalu, anaknya yang juga penuntut jurusan Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam juga sempat bertanyakan alamat rumah untuk mengirim baju T yang dicetaknya di kampus.

Fatin Farah Faradia maut akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pensyarah universiti berkenaan di dalam kawasan kampus di sini, petang, kelmarin.

Mangsa dilanggar kenderaan itu ketika berjalan selepas bergambar bersama rakan-rakannya di kawasan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media sehingga menyebabkannya terjatuh dari kawasan berbukit ke perhentian bas berdekatan.

Penuntut tahun kedua Diploma Sains Sukan dan Rekreasi itu meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam hari yang sama di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang berikutan pendarahan dalaman.

Menurut Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Dr Azizul Halim Yahya, dalam kejadian jam 5.20 petang itu, mangsa yang baharu selesai menghadiri kuliah dikatakan sedang berjalan bersama rakannya sebelum dirempuh kereta itu yang menyebabkannya tercampak.

“Kereta pensyarah itu kemudian melanggar pembahagi jalan manakala mangsa jatuh ke bawah bukit setinggi kira-kira lima meter dan pengsan sebelum dia dikejarkan ke HTAR,” katanya.

Menurut Azizul, pensyarah wanita berumur 58 tahun yang memandu kenderaan tersebut difahamkan mengalami sakit kepala sebelum kejadian itu, menyebabkan beliau gagal mengawal kereta dipandunya.

Jenazah arwah tiba dengan kenderaan jenazah UiTM di Masjid Minda, Dungun kira-kira jam 7 petang untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam kampung Minda, lewat petang semalam. 
sumber:kezoom

0 comments:

Post a Comment