Aeril Zafrel & Wawa Zainal Didenda Nikah Tanpa Kebenaran
Pelakon Aeril Zafril didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini pada Khamis atas kesalahan melakukan pernikahan tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Rujuk dan Cerai menurut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairi Sunari, 26, dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Saharuddin Selamat.
Dalam pada itu, aktres Wawa Zainal yang juga isteri Aeril turut mengaku bersalah bersubahat atas kesalahan sama dan dikenakan denda sebanyak RM800 atau penjara sekiranya gagal membayar denda.
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 22, melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 134 (subahat) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Kedua-dua pasangan itu diwakili Peguam Syarie, Mohd Aizan Md Idrus manakala pertuduhan dibuat Pendakwa Syarie, Khafizah Ahmat Khairi.
Menurut pertuduhan, Aeril dan Wawa melakukan pernikahan tanpa kebenaran pada 25 Februari 2012 di sebuah rumah beralamat 2, Lorong 7A, Taman Datuk Harun, Petaling Jayakira-kira pukul 8 malam.
Sementara itu, bapa angkat Aeril, Wahap Raub yang turut dituduh bersubahat dalam kes berkenaan turut dikenakan denda sama seperti Wawa.
Dua lagi tertuduh iaitu bapa Wawa iaitu Zainal Abidin Sulong yang bertindak sebagai wali dan Salim Asari tidak menghadirkan diri kerana berada di Sabah.
Dalam perkembangan sama, usaha mStar Online untuk mendapatkan kenyataan pasangan itu gagal selepas mereka menghilangkan diri sejurus kes itu selesai.
Pasangan itu yang pada mulanya berjanji untuk memberikan kenyataan membiarkan sekumpulan wartawan menunggu di perkarangan mahkamah selama 30 minit sebelum diberitahu mereka telah pulang.
Aeril dan Wawa bernikah buat kali kedua dengan kebenaran pada 4 Februari tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata Ahmad Fakharuddin Attar yang kini berusia 15 bulan.
sumber: http://www.mstar.com.my/
0 comments:
Post a Comment