Serangan Tikus Kembali, Kini Di Kafeteria Kampus USM
Najis tikus dapat dilihat di sudut penjuru kafeteria terbabit.
KOTA BARU: Hampir setahun yang lalu, berita serangan tikus di wad pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dekat sini mendapat perhatian pihak berkuasa.
Namun, haiwan pembawa penyakit itu masih ada dan keadaan lebih teruk apabila ia kini menyerang kawasan kafeteria utama kampus kesihatan itu.
Pelajar membuat aduan bahawa tikus sering dilihat di kafeteria tersebut yang boleh menampung seramai 200 orang pada satu masa dan dibuka 24 jam.
"Tikus berkeliaran sepanjang masa terutama pada waktu malam. Beberapa pelajar juga dapat merakam video tikus berkeliaran di kaunter perkhidmatan makanan," kata salah seorang pelajar.
Seorang pelajar pula berkata, dia mengesyaki bahawa tikus tersebut merupakan punca kes keracunan makanan yang berlaku.
Tambahnya, dia terpaksa mendapatkan rawatan doktor selepas makan di kafeteria terbabit beberapa kali.
"Kami ada membuat aduan malah memuat naik gambar dan video di Facebook Kumpulan Pelajar dan pengurusan universiti mengetengahkan masalah itu kepada pengendali gerai makanan di kafeteria tersebut.
"Langkah yang diambil hanyalah menutup makanan dengan plastik. Ia tidak membantu menyelesaikan masalah tersebut," katanya.
Pada 8 Oktober tahun lalu, muka depan akhbar The Star melaporkan bahawa hospital berusia 31 tahun itu berdepan masalah serangan tikus selama satu dekad.
Menurut laporan itu, pihak pengurusan hospital terbabit tidak membantu menyelesaikan masalah serangan tikus di wad pesakit.
Tinjauan The Star di kafeteria tersebut sejak beberapa hari lalu mengesahkan dakwaan beberapa pelajar.
Najis tikus juga ditemui di sudut penjuru kafeteria terbabit dan di beberapa kawasan gerai di dalamnya.
Beberapa pengusaha gerai yang ditemu bual dilihat tidak endah dengan serangan haiwan tersebut manakala segelintir berkata, masalah itu perlu dipandang serius oleh pihak pengurusan universiti.
"Kami selalu ternampak tikus berkeliaran apabila kami belajar pada waktu malam. Saya juga sudah terbiasa melihat kelibat haiwan itu sekarang dan tidak mahu melihatnya lagi," kata salah seorang pelajar.
Pelajar perempuan itu berkata, dia berhenti menikmati makanan di kafeteria terbabit.
Pengendali kafeteria itu yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Che Yah menafikan dakwaan bahawa tikus sering berkeliaran di kampus tersebut.
"Isu serangan tikus sudah selesai. Bangunan telah dibersihkan dengan bahan kimia," katanya.
Malah, menurutnya, dia turut memasang perangkap tikus untuk menangkap haiwan pembawa penyakit itu.
Pelajar-pelajar bagaimanapun berkata mereka tidak menyedari sebarang perangkap tikus dipasang atau operasi pemusnahan serangga perosak dilakukan dibangunan tersebut.
sumber:http://www.mstar.com.my/
0 comments:
Post a Comment