[x]

Sofi Jikan Merajuk, Hanya Akan Berlakon Di Bawah Produksi Sendiri

Sudah acapkali pelakon berbakat besar, Soffi Jikan mengucapkan perkataan mahubersara daripada dunia lakonan.

Bagaimanapun, dia masih terbabit dalam bidang seni manakala drama dan filem lakonannya masih banyak akan menemui peminat.

Dia juga menubuhkan syarikat sendiri iaitu Iman Film Sdn Bhd yang aktif menerbitkan produk sendiri serta filem pertama berjudul "Gangster Rock" tidak lama lagi.

Justeru, ini menimbulkan persoalan sama ada benar pelakon berusia 44 tahun ini mahu berhenti berlakon atau hanya suka-suka mengucapkan perkataan itu?

Lebih mengejutkan, pelakon sinonim dengan watak samseng yang kini beralih kepada bidang perniagaan bersama syarikat Red Quattro ini digosipkan menerima bayaran hampir RM1 juta apabila berlakon dengan sebuah drama bersiri Marco Polo terbitan produksi dari Amerika Syarikat.

Apakah kenyataan ini benar atau sekadar kejutan yang sengaja dicetuskan Soffi? Ikuti temu bual wartawan dengan Soffi, baru-baru ini.

WARTAWAN: Anda seperti kecewa sangat dengan industri filem tempatan. Mengapa?


SOFFI: Saya anggap diri saya gagal dalam bidang lakonan. Ini kerana saya hanya ditawarkan watak yang ringan. Pada Oktober tahun lalu, saya umumkan nak berhenti berlakon dan diakui saya sangat bekerja keras untuk cari rezeki.

Ramai yang anggap saya main-main tapi saya sebenarnya serius. Memang saya berhenti berlakon tapi filem-filem lakonan saya masih banyak yang belum menemui penonton.

WARTAWAN: Kenapa nekad sangat nak berhenti berlakon?


SOFFI: Seperti yang dikatakan dulu, industri filem kita masih dibebankan dengan isu cetak rompak yang tak pernah selesai. Bayaran pula tak setimpal manakala watak masih sama.

Saya memang tak berminat berlakon dengan produksi lain kecuali syarikat sendiri. Banyak faedah yang saya dapat dengan syarikat sendiri seperti siri Saga dan terbitkan filem Gangster Rock.

Maksud berhenti di sini adalah saya ikut jejak idola saya seperti Ahmad Yatim dan Sidi Oraza yang terus meninggalkan bidang ini dan tidak kembali meskipun dipujuk.

Mengenai berlakon filem sendiri, saya lakukannya atas desakan rakan-rakan.

WARTAWAN: Tidak menyesal de­ngan keputusan?


SOFFI: Saya sudah berlakon lebih 50 filem dan lalui pelbagai pengalaman. Saya dah bekerja dengan pelbagai syarikat penerbitan dan menaikkan mereka. Memang sedih apabila tak dapat bersama lagi tapi saya kena berubah. Sekarang saya hanya berjuang untuk kebajikan artis.

Saya yakin de­ngan keputusan yang dibuat dan serahkan rezeki pada Allah. Orang nampak saya selalu bawa watak jahat tapi saya tetap ada perasaan.

Apabila diberikan watak saya akan buat yang terbaik.

Saya kini ambil peluang untuk tukar angin dan ini pe­ngalaman baru buat saya. Industri seni hanya bayar ibarat kais pagi makan pagi.

WARTAWAN: Adakah ini bermaksud Soffi tidak membintangi Rock 3 arahan Mamat Khalid?

SOFFI: Susah untuk saya jawab. Bagaimanapun, secara jujurnya saya beritahu belum menerima tawaran rasmi daripada pihak terbabit.

WARTAWAN: Apa yang buat Soffi kecewa sangat?

SOFFI: Paling mengecewakan apabila saya seperti diperkotak-katikkan terutama dalam soal duit.

Syarikat produksi akan mendahulukan perkara lain seperti bayaran teknikal berbanding bayaran artis.
Boleh dikatakan kami ialah orang terakhir menerima bayaran dan hasil yang diperoleh memang sikit.

Paling sakit hati apabila sesebuah produksi sudah berbincang dan memilih nama saya untuk berlakon filem mereka tetapi pada saat akhir nama saya digugurkan dengan alasan mahukan pelakon terkini. Ini sangat menghina!

WARTAWAN: Dari mana Soffi dapat modal buat filem?

SOFFI: Alhamdulillah Iman Film menerima geran diberikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bernilai RM400,000. Saya berjanji akan buat yang terbaik kerana kumpulan produksi saya sebenarnya sudah ba­nyak menang anugerah.

WARTAWAN: Betulkah Soffi menerima bayaran RM1 juta untuk siri Marco Polo?

SOFFI: Siri ini memang mahal kerana ia difaham kan menelan belanja RM100 juta. Ia diterbit­kan The Weinstein Company dari Amerika Syarikat.

Pelakon-pelakonnya datang dari luar negara iaitu Lorenzo Richelmy dari Itali, Benedict Wong, Zhu Zhu, Tom Wu, Remy Hii dan Rick Yune. Penggambaran dibuat di Studio Pinewood di Johor.

Saya tak boleh beritahu jumlah sebenar yang dibayar kerana ia rahsia. Yang boleh dikatakan pengalaman berlakon siri ini amat berharga dan bernilai kerana ia akan ditayang­kan di seluruh dunia pada tahun ini.

WARTAWAN: Bagaimana pula dengan nyanyian?

SOFFI: Dalam filem Rock Oo! saya pernah buat single berjudul Malaikat Maut. Kini saya dah hasil­kan album berjudul Kasi Sengat yang diterbitkan bersama Edrie Hashim. Lagu-lagu yang dimuat­kan ialah Madu, Kasi Se­ngat, Gangster Rock Style, Bisik, Raja Gulung Kertas, Adi Genius dan Cinta Android. Album ini boleh diperoleh menerusi iTunes.
sumber: http://3aj-studios.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment