[x]

MH17: Mayat terakhir enam beranak dikenal pasti


Mayat Muhammad Afruz Tambi Jee,13 (lima dari kiri) berjaya dikenalpasti.

Mayat terakhir daripada sekeluarga enam beranak yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lalu, dikenal pasti semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata mayat Muhammad Afruz Tambi, 13 tahun, yang dikenal pasti semalam, belum mendapat kelulusan pihak berkuasa Amsterdam untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Remaja itu adalah anak lelaki Tambi Jiee dan Ariza Ghazalee, yang terbunuh bersama empat anak mereka dalam tragedi berkenaan.

“Jenazah lima anggota keluarga itu telah dibawa pulang ke Malaysia,” kata Liow selepas melancarkan Hari Maritim Sedunia 2014, pada Jumaat.

Jelasnya, baki dua lagi rakyat Malaysia, iaitu Siti Amirah Parawira dan Shaliza Zaini Dewa yang menaiki Boeing 777-200 itu, masih tidak dapat dikesan.

Liow berkata, penyiasat dari Malaysia dan negara lain belum memasuki lokasi nahas yang terletak di wilayah bergolak itu, kerana kerajaan Ukraine tidak boleh menjamin satu koridor yang selamat untuk mereka.

Menurutnya, pasukan penyiasat perlu memasuki lokasi nahas sebelum musim sejuk, bagi mengelakkan kesulitan untuk mendapatkan semula bangkai pesawat serta mayat atau cebisan mayat.

“Fokus utama Malaysia kini ialah mendapatkan kembali mayat atau cebisan mayat, serta bangkai pesawat dan menjalankan siasatan bagi mencari kebenaran demi keadilan berhubung tragedi itu yang mengejutkan dunia,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata rakan sejawat beliau di Ukraine, iaitu Arseniy Yatsenyuk telah memaklumkan Kiev tidak boleh memberi jaminan itu, memandangkan laluan berkenaan tidak selamat.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu, dipercayai ditembak jatuh di wilayah Donetsk, lebih dua bulan lalu.

Antara yang terbunuh adalah 43 rakyat Malaysia, termasuk 15 anak kapal.

Daripada jumlah itu, jenazah 36 mangsa sudah dikenal pasti dan dibawa pulang ke tanah air, setakat ini.
sumber: Mstar

0 comments:

Post a Comment