[x]

Aidil Zafuan Sokong Rita Rudaini Ambil Tindakan Pengugut Bunuh


Bintang bola sepak Aidil Zafuan berkata, adalah wajar untuk Rita Rudaini mengambil tindakan terhadap pengikut Instagram bernama ‘Hanifhafizul’ yang telah mengugut agar bekas isterinya itu dibunuh.

Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, berkata perbuatan seperti itu tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pengikut laman sosial artis kerana ia adalah satu perbuatan jenayah.

"Bagi saya, tindakan Rita membuat laporan polis untuk mengambil tindakan terhadap pengikut laman Instagram saya itu adalah patut kerana ia boleh mengancam keselamatandia dan anak-anak," kata Aidil kepada mStar Online pada Isnin.

Pada Sabtu lalu, Rita telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak dekat sini berhubung komen pengikut Aidil yang menulis cadangan meminta Aidil agar mengupah orang untuk membunuh Rita bagi menyelesaikan masalah mereka berdua.

Ia berikutan Aidil memuat naik paparan skrin slip pembayaran nafkah anak kepada Rita sebagai bukti dia tidak mengabaikan anak-anaknya selepas bercerai.

Dalam pada itu Aidil berkata, dia terkilan apabila aktres itu menuduhnya tidak mengambilserius tentang ugutan bunuh itu disebabkan dia tidak menyekat komen berkenaan.

"Saya sibuk dengan kerja, tak mungkin saya ada masa untuk membaca kesemua komen di Instagram. Cuma apabila saya terbaca, diakui memang saya terkejut kerana individu itu berani memberi komen seperti itu. Dan baru-baru ini saya telah buang komen berkenaan.

"Tetapi takkanlah perkara ini pun jadi salah saya? Hanya kerana saya tidak membuang komen itu?" soalnya.


Rita Rudaini

Sementara itu, Aidil mendedahkan dakwaan Rita kepada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Jumaat lalu yang dia tidak pernah menuntut cerai terhadap Aidil adalah tidak benar.

Katanya, semasa mereka bergelar suami-isteri, Rita kerap kali meminta untuk dilepaskan.

"Saya tidak faham dengan permainan dia. Kenapa dia tidak sudah-sudah mahu mencari kesalahan dan mengaibkan saya. Apa lagi yang dia mahu?

"Kalau nak diikutkan, ketika kami masih suami-isteri, sudah lebih dua kali dia minta cerai daripada saya. Semakin saya diam, semakin menjadi-jadi pula tuduhan dia. Jangan sampai saya bersikap tegas dengan mengambil tindakan terhadap setiap tuduhannya itu," ujarnya.
sumber: http://www.mstar.com.my/

0 comments:

Post a Comment