[x]

Zain Saidin Kongsi Pengalaman Jadi Bapa

Zain Saidin hari ini berkongsi pengalaman pertama beliau menjadi seorang bapa, malah hingga saat ini, Zain juga seakan tidak percaya dan rasa terus bermimpi yang beliau sudah bergelar bapa.

Anak pertama hasil perkongsian hidupnya dengan Rozita Che Wan dilahirkan 1 November lalu jam 2.18 petang di Hospital Pakar Ampang Puteri.

Bayi seberat 2.8 kilogram itu dilahirkan secara normal. Zain semalam menjelaskan selepas melalui pengalaman sulung bergelar bapa dan menyaksikan isterinya 'bergelut' di dalam bilik pembedahan, baru kini beliau sedar kepayahan isteri bersalin.

"Kalau dulu kawan yang berkahwin cakap betapa nikmatnya hidup berumah tangga, saya sendiri kabur apa sebenar maksud mereka. Hinggalah saya berkahwin dan kini dikurniakan cahaya mata, baru saya sedar nikmat yang dimaksudkan mereka itu.

"Tapi jujur saya akui, kehadiran anak sulung kami ini terus membuatkan saya seperti berfantasi dalam dunia sendiri. Betul ke saya sudah jadi ayah... dan macam-macam lagi persoalan. Tapi Alhamdulillah semuanya selamat dan lancar," katanya.

Zain turut menceritakan pengalamannya pada hari isteri tercinta melahirkan anak mereka.

Sejak jam 8 pagi lagi, Zain dan isterinya sudah berada di hospital. Sekitar jam 9 pagi segala persiapan bermula dan Rozita turut diberikan ubat penahan sakit, Epidural.

"Saya berada menemani isteri lebih empat jam di bilik bersalin. Khamis lalu, ketika membuat pemeriksaan bukaan sentimeter serviks isteri saya tak besar. Beberapa jam juga kami menunggu bukaan sentimeter serviks itu membesar pada hari bersalin.

"Asalnya saya hanya mahu berada di sebelah isteri saya memberi sokongan moral. Pelbagai perasaan mula bermain di fikiran, almaklumlah ini kali pertama saya menyaksikan serta mengalami pengalaman ini. Perasaan ingin tahu itu kian bercambah.

"Tapi secara automatik, saya pula jadi teruja terutamanya apabila sudah mula kelihatan kepala anak saya. Malah selepas doktor memberikan salam simbolik kepada kehadiran anak, saya lagi bertambah teruja," kata Zain yang turut mendapat tahu anaknya turut berkongsi tarikh lahir yang sama dengan Aishwarya Rai.

Tambah Zain, beliau berbangga dengan isterinya yang bersalin secara normal tanpa memerlukan peralatan canggih untuk memudahkan proses bersalin contohnya seperti menggunakan vakum.

Ketika ini Rozita dan Zain belum bersedia mendedahkan nama sulung anak mereka. Rozita akan berpantang di Subang.
sumber:kezoom

0 comments:

Post a Comment