[x]

Madu Ghaib: Tiada Sijil Kematian Punca Suami Penumpang MH370 Bernikah Di Negara Jiran


Gambar Hiasan.

 Masalah ketiadaan sijil kematian isterinya menjadi antara punca suami salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang statusnya belum dimuktamadkan terpaksa bernikah buat kali kedua di negara jiran.

Perkara itu diberitahu ibu lelaki berkenaan ketika dihubungi mStar Onlineuntuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu selepas lelaki berkenaan enggan memberi sebarang komen mengenainya.

Wanita berusia lewat 60-an itu berkata, anaknya bukan sengaja mahu bernikah diluar negara tetapi ketiadaan dokumen berkenaan menyukarkan proses untuk bernikah di sini.

Lebih mendukacitakan lagi, katanya, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan sijil kematian itu akan hanya dikeluarkan selepas empat tahun.

"Anak saya ada pergi ke Jabatan Pendaftaran bertanyakan mengenai sijil kematian isterinya tetapi dia diberitahu sijil itu hanya akan dikeluarkan selepas empat tahun.

"Takkan anak saya nak tunggu sampai empat tahun lagi baharu boleh bernikah semula. Dia masih muda lagi, dah tentu rasa kesunyian dan ada empat orang anak. Kesianlah mak cik tengok dia. Eloklah dia kahwin daripada buat maksiat," katanya.

Baru-baru ini, portal berita ini menyiarkan laporan mengenai suami penumpang MH370 yang terpaksa bernikah di negara jiran kerana berhadapan masalah untuk berpoligami kerana status isterinya yang masih tidak dimuktamadkan.

Berikutan itu, lelaki beranak empat itu terpaksa mendaftarkan permohonan nikah berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah, awal bulan ini.

Menjelaskan lebih lanjut lagi, ibu lelaki tersebut berkata, keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan menyebabkan beliau merestui pernikahan anaknya agar segala keperluan keempat-empat cucunya terjaga.

"Makcik dah 69 tahun, tak larat dah nak jaga cucu. Oleh itu, mak cik bagi restu dia kahwin lagi. Sekurang-kurangnya makan pakai dia dan anak-anak terjaga," katanya.

Beliau berkata, sejak pesawat tersebut hilang pada 8 Mac lalu nasib dan status menantunya masih tidak diketahui kerana tiada perkembangan daripada kerajaan berhubung perkara ini.

Justeru, beliau meminta kerajaan segera mengisytiharkan status pesawat tersebut agar semua waris mangsa dapat meneruskan kehidupan tanpa sebarang masalah.

"Sampai sekarang, sudah lapan bulan status mengenai pesawat itu masih belum diputuskan dan ia menimbulkan pelbagai masalah kepada waris mangsa. Saya minta kerajaan lakukan sesuatu untuk membantu anak saya dan waris lain meneruskan kehidupan mereka," katanya.

Isteri lelaki terbabit merupakan antara 239 penumpang yang berada dalam pesawat MH370 yang sedang dalam perjalanan ke Beijing apabila hilang awal pagi pada 8 Mac sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Analisis satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat ialah di selatan Lautan Hindi, barat Perth,Australia.

Bagaimanapun, usaha mengesan pesawat itu terus buntu kerana tiada sebarang bukti ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan.
sumber:mstar

0 comments:

Post a Comment