[x]

"Anak Saya Tak Pernah Ke Kelab Malam" - Rozita Che Wan


Rozita Che Wan kecewa apabila dipersalahkan dan dituduh tidak pandai menjaga anak gara-gara kenyataan suaminya Zain Saidin yang mengizinkan anak pelakon wanita itu iaitu Ammar Effendy, 18, keluar ke kelab malam di sebuah laman blog.

Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 41, berkata, kenyataan tersebut telah dimanipulasi sehingga memperlihatkan dirinya sebagai gagal memberi didikan sempurna kepada anak-anaknya.

"Saya marah apabila orang menuduh dan salahkan saya tidak pandai jaga anak, padahal mereka tidak tahu susah senang saya sebagai ibu tunggal membesarkan anak-anak sendiri.

"Saya sudah beri didikan yang sebaik mungkin hingga dia berjaya mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan menjadi pelajar terbaik di sekolah," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Rozita berkata demikian ketika diminta mengulas luahan rasa kecewanya yang dimuat naik di laman sosial Instagram pada Ahad lalu tentang tanggapan segelintir masyarakat terhadapnya.

Dia juga kecewa apabila ada pihak membandingkan anaknya dengan seorang remaja Ahmad Ammar yang mati syahid di Turki akhir tahun lalu.

Tegas Rozita, sebagai ibu kandung sudah tentu dia lebih mengetahui apa yang dilakukan oleh anak-anaknya berbanding suaminya yang juga bapa tiri kepada anak lelakinya itu.

"Mereka sepatutnya tanya saya kerana saya ibu dia jadi saya lebih tahu kemana anak-anak saya pergi. Namun itu tidak bermakna dia tidak mengambil tahu dan peduli tentang mereka," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang isu membenarkan anak ke kelab malam, Rozita sekali lagi menyangkal dakwaan tersebut, malah anak sulungnya itu tidak pernah pergi ke pusat-pusat hiburan tersebut.

"Anak saya Ammar Effendy tidak pernah ke kelab malam, tentang keizinan itu memang dia sentiasa meminta izin untuk keluar termasuk pada waktu malam, itu pun kalau dia ingin lepak dan jumpa kawan-kawannya sahaja.

"Cuma selepas dia minta izin saya sudah tidak boleh pantau lagi dia pergi mana, namun saya harap kebebasan yang saya beri tidak disalahgunakan," ujarnya.
sumber: http://www.mstar.com.my/

0 comments:

Post a Comment