Ketakutan Ebola Di Aidil Adha
AFP - ORANG RAMAI berjalan di hadapan kain rentang yang memberi amaran tentang bahaya virus Ebola di ibu negara Sierra Leone, Freetown kelmarin.
FREETOWN – Jangan solat terlalu rapat antara satu sama lain, jaga kebersihan dan apa jua yang anda lakukan, jangan bersalam dengan imam.
Itu antara pesanan kepada beribu-ribu orang Islam di Sierra Leone yang membanjiri masjid, stadium dan padang bola sepak di negara itu untuk menunaikan solat sunat Aidiladha kelmarin.
Rata-rata sambutan hari raya korban di negara itu dihantui ketakutan wabak demam Ebola.
Khutbah hari raya turut menyentuh epidemik itu yang melanda Barat Afrika dan menjangkiti lebh 7,400 orang serta membunuh separuh daripada mereka setakat ini.
Sierra Leone yang mencatat lebih 600 kematian akibat Ebola tahun ini merupakan antara tiga negara paling teruk terjejas akibat virus maut itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Di Stadium Negara di ibu kota Sierra Leone, di sini, beberapa kumpulan belia memantau orang ramai yang tiba untuk menunaikan solat sunat hari raya korban.
Para jemaah diminta membasuh tangan mereka menggunakan air dicampur klorin yang diisi ke dalam sejumlah baldi.
Dalam khutbahnya, Imam Sheikh al-Hassan berkata, beliau mendoakan Sierra Leone aman dan makmur pada waktu sukar ini. Sheikh al-Hassan turut menasihati jemaah supaya mengelak daripada bersentuhan untuk menghalang jangkitan Ebola.
GAMBAR yang dirakam pada Jumaat lalu menunjukkan seorang wanita yang disyaki menghidap Ebola menangis di luar Hospital Daerah Pelabuhan Loko di bandar Pelabuhan Loko, Sierra Leone.
“Kita mesti melindungi diri kita di samping keluarga kita dan orang lain,” katanya.
“Dengarlah nasihat doktor. Jangan menghadiri upacara pengebumian atau menyentuh mayat, jangan berjabat tangan, jangan mengunjungi tempat yang penuh sesak dan teruslah berdoa untuk negara ini,” tambahnya.
Salah seorang penduduk berkata, mereka diminta untuk tidak bersalam dengan imam kerana ia berisiko menyebarkan jangkitan Ebola.
“Ini tidak bermakna kamu tidak menghormati saya tetapi langkah ini bagi melindungi kita semua,” kata Sheikh al-Hassan.
Sambutan hari raya korban di beberapa kawasan yang dilanda wabak Ebola di utara dan timur negara itu turut hambar. Kawasan tersebut menyaksikan ratusan ribu penduduk dikuarantin untuk mengekang penularan Ebola.
“Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya apabila orang ramai mengadakan jamuan dan perarakan, kali ini semua orang makan di rumah,” kata Alpha Sillah yang menetap di bandar Makeni, utara negara itu.
Di sebuah bandar lain, Kailahun upacara korban turut tidak diadakan bagi mengekang jangkitan virus maut itu.
Situasi itu diburukkan lagi oleh keputusan kerajaan Arab Saudi untuk melarang warga Sierra Leone, Guinea dan Liberia daripada menunaikan ibadat haji di Mekah pada tahun ini.
“Kami sedih dengan keputusan tersebut tetapi kami memahami situasi semasa,” kata Menteri Kebajikan Masyarakat Sierra Leone, Moijueh Kaikai.
sumber:http://www.dramadunia.my/
0 comments:
Post a Comment