[x]

Drama Lakonan Anzalna Bakal Disiarkan Luar Negara

Impian pelakon Anzalna Nasir untuk mengembangkan kerjaya seninya di peringkat antarabangsa bakal tercapai apabila drama lakonannya berjudul A Love To Remember bakal disiarkan di beberapa negara luar.

Anzalna, 26, berkata, lebih membanggakan drama adaptasi daripada telenovela popular Mexico itu akan disiarkan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia selain penggambaran turut diadakan di negara ini.

"Alhamdulillah salah satu cita-cita saya bakal tercapai kerana drama terbaharu saya akan disiarkan di seluruh dunia.

"Saya sangat teruja dan gementar apabila memikirkan penerimaan penonton nanti dan ini adalah satu peluang keemasan untuk saya mencipta nama di peringkat antarabangsa," katanya kepada mStar Online.

Anzalna ditemui pada majlis Kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' di Kelab DiRaja Selangor, Bukit Kiara di sini pada Khamis.

Dua lagi selebriti yang turut terlibat pada kempen yang dirasmikan oleh Pengurus Besar, Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Ng Hock Guan itu adalah Sherry Ibrahim dan Doris Hor.

Pada majlis berkenaan seramai 1,000 peserta menyertai program itu dengan melepaskan belon ke udara tanda sokongan kempen berkenaan.

Dalam pada itu, Anzalna berkata, penggambaran drama bersiri tersebut yang baharu sahaja dilakukan iaitu sejak dua minggu lalu dan dijangka akan berlanjutan selama setahun.

Jelas Anzalna, bagi memberikan komitmen penuh terhadap projek tersebut dia terpaksa menolak tawaran lain yang datang kerana jadual penggambaran yang padat.

"Secara keseluruhannya A Love To Remember mempunyai 148 episod dan demi memberikan tumpuan sepenuhnya saya menolak tawaran lain untuk jangka masa setahun.

"Bukan berlagak tetapi tidak mahu bersikap tamal yang akhirnya saya tahu akan memakan diri sendiri," ujarnya.

Tambah Anzalna drama berkenaan adalah terbitan kerjasama di antara Global Station Sdn Bhd, Astro dan TV Asteca yang berpangkalan di Mexico.

Selain Anzalna, drama itu turut diterajui oleh Hisyam Hamid, Liza Abdullah, Diana Rossa dan Afiq Muiz.

Sementara itu, Anzalna berkata, sebagai persediaan dia turut menonton drama asal bagi menjiwai wataknya sebagai Suraya.

"Ini peluang saya dan tekanan itu memang ada kerana ia bakal ditayangkan di seluruh dunia dan sebagai persediaan saya sudah menonton drama asal malah saya sudah pun masuk ke set penggambaran untuk blok pertama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anzalna berkata, penglibatannya dalam kempen 'Feel Smooth Feel Confident Nivea' akan lebih kepada memberi kesedaran tentang keyakinan dalam diri wanita menggunakan laman sosial.

Katanya, sebagai selebriti dia akan menggunakan pengaruh yang ada bagi meningkatkan keyakinan dalam diri wanita menerusi rangkaian produk Nivea.

"Ini adalah sebuah kempen yang bagus kerana ramai wanita yang tidak mempunyai keyakinan dalam diri mereka.

"Saya akan gunakan medium sosial untuk berinteraksi secara langsung selain memberikan tips untuk tampil yakin kepada mereka," ujarnya.
sumber:http://mygosiphub.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment